TEHRAN, 9 MAC – Menteri Luar Iran, Abbas Araqchi berkata Iran belum menerima sebarang surat daripada Amerika Syarikat (AS) selepas Presiden Donald Trump mendakwa telah menghantar surat kepada Pemimpin Tertinggi Iran Ayatollah Seyyed Ali Khamenei, lapor Agensi Berita Iran, IRNA.
“Dikatakan surat itu dalam perjalanan,” kata seorang wartawan televisyen nasional Iran kepada Araqchi, semalam.
“Kami juga mendengar perkara yang sama, (tetapi) kami belum menerima apa-apa lagi,” jawab beliau. “Ia masih belum tiba,” kata Araqchi apabila wartawan itu mengulangi pertanyaan sama ada Iran sudah menerima surat berkenaan atau tidak.
Perbualan itu berlangsung di luar satu mesyuarat di Tehran, yang turut dihadiri Ayatollah Khamenei bersama ketua tiga cabang kerajaan serta pegawai kanan awam dan tentera, menurut IRNA.
Pada Jumaat, Trump mendakwa beliau telah menghantar surat kepada Ayatollah Khamenei bagi meminta rundingan dibuka semula.
Dakwaan itu dibuat di tengah-tengah kempen ‘tekanan maksimum’ yang Trump lancarkan semula terhadap Iran awal bulan lepas, dua minggu selepas memulakan penggal kedua sebagai presiden.
Trump mula melancarkan kempen itu pada 2018 selepas menarik AS keluar daripada perjanjian pelbagai hala berhubung program nuklear Iran.
Sejak kembali ke Rumah Putih pada 20 Januari tahun ini, beliau beberapa kali menyatakan hasrat untuk berunding mengenai perjanjian baharu dengan Iran. – Bernama
