Saturday, December 28, 2024
24.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Iran berjaya lancar satelit tentera ke orbit

    TEHRAN, 8 MAC – Iran hari ini mengumumkan ia telah berjaya melancarkan sebuah satelit tentera ke orbit, ketika rundingan menghidupkan semula perjanjian nuklear 2015 antara Tehran dan kuasa-kuasa besar mencapai peringkat kritikal.

    “Satelit tentera kedua Iran – dinamakan Nour-2 – sudah dilancarkan ke ruang angkasa oleh roket Qassed dari sayap aeroangkasa Pengawal Revolusi dan berjaya mencapai orbit 500km dari bumi,” agensi berita rasmi, IRNA melaporkan.

    Pengawal Revolusi Corps menerangkan Nour-2 sebagai ‘sebuah satelit peninjauan dalam satu kenyataan di laman web Sepah News miliknya.

    Menurutnya, satelit dilancarkan dari padang pasir Sharoud di wilayah Semnan, kira-kira 300km ke timur ibu negara. Menteri Telekomunikasi, Issa Zarepour memuji kejayaan pelancaran satelit itu. Isyarat pertama dari Nour-2 sudah berjaya diterima di stesen bumi,” katanya dalam satu kenyataan disiarkan IRNA.

    “Satelit peninjauan ini akan mengorbit bumi setiap 90 minit dan misinya akan berlarutan sekurang-kurangnya tiga tahun. Amerika Syarikat (AS) berulang kali menyuarakan kebimbangan pelancaran seumpamanya boleh meningkatkan teknologi peluru berpandu balistik Iran.

    Namun Iran menekankan ia tidak mengusahakan senjata nuklear dan satelit serta pelancar roketnya hanya untuk tujuan sivil atau pertahanan sahaja.

    Iran berjaya melancarkan satelit tentera pertamanya ke orbit pada April 2020, mencetuskan kritikan tajam dari Washington. Sepah News menjelaskan bahawa Nour-1 masih lagi ‘beroperasi’ sepenuhnya dan memancarkan data. – AFP

    Gambar serahan Pengawal Revolusi Corps menunjukkan pelancaran satelit Nour-2 ke orbit dari Shahroud, wilayah Semnan, Iran. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda