TEHRAN, 23 MAC – Menteri Luar Iran, Seyed Abbas Araghchi kelmarin bertukar pandangan dengan rakan sejawatannya dari Arab Saudi dan Mesir mengenai serangan baharu Israel ke atas Gaza, lapor Xinhua.
Dalam perbualan telefon dengan Menteri Luar Arab Saudi, Faisal bin Farhan Al Saud, Araghchi mengutuk sekeras-kerasnya serangan Israel di Gaza dan menggesa negara-negara lain di rantau itu mengambil tindakan kolektif, menurut Kementerian Luar Iran dalam satu kenyataan.
Bagi pihaknya, Faisal menegaskan pendirian Arab Saudi yang mengutuk pencerobohan Israel dan menekankan keperluan untuk penyelarasan serantau bagi mengelakkan ketegangan semakin memuncak.
Dalam perbualan telefon berasingan dengan Menteri Luar Mesir, Badr Abdelatty, Araghchi mengutuk serangan terbaharu Israel di Gaza serta halangan terhadap penghantaran bantuan kemanusiaan ke kawasan pantai Palestin itu yang secara terang-terangan melanggar perjanjian gencatan senjata dengan Hamas.
Menteri luar Mesir pula menegaskan kepentingan perundingan dan usaha diplomatik bagi mengelakkan ketegangan berterusan.
Kedua-dua menteri luar bersetuju untuk meneruskan rundingan mengenai perkembangan serantau. – Bernama
