TEHRAN, 22 SEPT – Iran hari ini mengumumkan pemulihan hubungan diplomatik dengan Djibouti selepas lebih tujuh tahun negara tersebut bersama negara-negara serantau lain memutuskan hubungan dengan Tehran sebagai sokongan kepada Arab Saudi.
Keputusan oleh negara Afrika yang strategik itu dibuat beberapa bulan selepas Iran yang didominasi Syiah dan Arab Saudi yang majoritinya Sunni menyambung semula hubungan di bawah perjanjian yang dianjurkan oleh China pada Mac.
“Hari ini, Iran dan Djibouti mengumumkan pemulihan hubungan diplomatik melalui satu kenyataan rasmi,” kata Menteri Luar Iran, Hossein Amir-Abdollahian dalam catatan di X, sebelum ini dikenali sebagai Twitter.
Tindakan itu susulan pertemuan Amir-Abdollahian dengan rakan sejawatannya dari Djibouti, Mahamoud Ali Youssouf di New York di luar Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu.
Djibouti memutuskan hubungan dengan Tehran pada Januari 2016 selepas serangan ke atas misi Arab Saudi semasa protes terhadap hukuman mati oleh Riyadh terhadap ulama Syiah terkemuka, Nimr al-Nimr. Sekutu Arab Saudi yang lain termasuk Bahrain juga memutuskan hubungan sebagai tanda solidariti, selepas Riyadh memutuskan hubungan dengan Iran.
Berikutan perjanjian bersejarah dengan kerajaan Arab Saudi, Iran telah berusaha mengukuhkan atau memulihkan hubungan dengan negara-negara Arab jiran.
Kelmarin, kementerian luar Iran berkata Iran dan Djibouti juga bersetuju untuk ‘membangunkan lagi hubungan persahabatan’ dan ‘untuk mengukuhkan kerjasama dalam pelbagai bidang’. – AFP