Iran hadkan pemeriksaan nuklear PBB

TEHRAN, IRAN, 23 FEB – Iran secara rasmi telah mulai mengehadkan pemeriksaan antarabangsa ke atas kemudahan nuklearnya, lapor TV kerajaan hari ini, satu usaha untuk menekan negara-negara Eropah dan kerajaan Presiden Amerika Syarikat (AS) Joe Biden untuk menamatkan sekatan ekonomi yang melumpuhkan dan memulihkan perjanjian nuklear 2015.

Laporan TV yang dikendalikan Iran memberikan sedikit perincian selain mengesahkan bahawa Iran telah memberi amaran untuk mengurangkan kerjasama dengan pemeriksa Badan Tenaga Atom Antarabangsa.

“Undang-undang tersebut mula berkuat kuasa pagi ini,” kata Menteri Luar Iran, Mohammad Javad Zarif, sambil mengulangi bahawa Iran tidak akan lagi berkongsi rakaman pengawasan kemudahan nuklearnya dengan agensi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).

“Kami tidak akan pernah memberi mereka video secara langsung, tetapi (rakaman) diberikan setiap hari dan mingguan,” kata Zarif mengenai akses IAEA ke atas maklumat yang dirakam oleh monitor kamera. “Rakaman program (nuklear) kami akan disimpan di Iran.”

Pertubuhan Tenaga Atom Iran, agensi nuklear awam Tehran, telah berjanji untuk menyimpan pita rakaman selama tiga bulan, kemudian menyerahkannya kepada IAEA – tetapi hanya jika diberi pelepasan sekatan. Jika tidak, Iran telah berjanji untuk menghapuskan pita tersebut, sekali gus menyukarkan kerjasama diplomatik dicapai.

Iran mengumumkan rancangannya untuk menghentikan pelaksanaan apa yang disebutnya sebagai ‘protokol tambahan’ sebuah perjanjian sulit antara Tehran dan IAEA yang dicapai sebagai sebahagian daripada perjanjian nuklear.

Perjanjian itu memudahkan pemeriksa PBB untuk mengunjungi kemudahan nuklear dan menonton program Iran.

Hampir tiga tahun yang lalu, bekas Presiden AS Donald Trump secara sepihak menarik Amerika daripada perjanjian nuklear dan mengenakan sekatan ke atas Iran yang telah menjejaskan ekonominya. – AFP

Menteri Luar Iran Mohammad Javad Zarif ketika bercakap semasa sidang media di ibu negara Tehran, kelmarin. – AFP