Iran hukum mati pengintip CIA, Mossad

TEHRAN, 20 JULAI – Iran hari ini melaksanakan hukuman mati ke atas seorang bekas penterjemah yang disabitkan atas tuduhan menjadi pengintip Amerika Syarikat (AS) dan Israel termasuk membantu mengesan jeneral kanan Iran yang kemudian dibunuh oleh AS, kata badan kehakiman.

Pembunuhan Mejar Jeneral Qasem Soleimani dalam serangan dron AS dekat lapangan terbang Baghdad pada Januari lalu menyebabkan Iran dan AS berada di ambang konflik.

Laman web kehakiman, Mizan Online memaklumkan pelaksanaan hukuman mati ke atas Mahmoud Mousavi Majd ‘dilakukan pagi tadi, sekali gus menutup kes itu.’

Jurucakapnya berkata, Majd dijatuhi hukuman mati awal bulan ini, atas tuduhan pengintipan dalam ‘pelbagai bidang keselamatan, terutama membabitkan anggota bersenjata dan pasukan Quds serta lokasi dan pergerakan Jeneral Qasem Soleimani.’

Majd turut didapati bersalah menerima sejumlah besar wang dari Agensi Perisikan Pusat AS dan Mossad Israel, kata jurucakap, Gholamhossein Esmaili. – AFP