TOKYO, 7 OGOS – Menteri Luar Iran hari ini mengadakan lawatan kali pertama ke Jepun sejak 2019 dalam lawatan luar biasa oleh diplomat tertinggi republik Islam itu ke negara anggota G7.
Tujuan lawatan Hossein Amir-Abdollahian ke pengerusi semasa G7 itu tidak diumumkan, tetapi laporan mengatakan Jepun akan mendesak Iran untuk menghentikan bekalan senjata kepada Rusia.
Tentera Kyiv berkata bulan lalu ia telah memusnahkan puluhan dron serangan buatan Iran yang disasarkan di wilayah Odesa Ukraine.
Amir-Abdollahian bertemu Menteri Luar Jepun Yoshimasa Hayashi, dengan kedua-duanya menyambut baik peluang untuk mengadakan perbincangan secara bersemuka di Tokyo.
“Saya bersyukur kerana mempunyai peluang untuk bertukar pendapat berhubung isu dua hala, serantau dan antarabangsa, kata diplomat Iran itu.
Menjelang pertemuan itu, Amir-Abdollahian memberitahu pemberita di Tokyo “kami tidak memilih pihak dalam mana-mana peperangan,” menafikan Iran telah menyediakan senjata kepada Rusia, lapor Jiji Press.
Beliau menambah bahawa Iran “tidak pernah menyediakan dron kepada mana-mana negara untuk digunakan di Ukraine,” menurut laporan itu.
Amir-Abdollahian juga akan membuat kunjungan hormat kepada Perdana Menteri Fumio Kishida, lapor penyiar swasta TBS.
TBS, memetik sumber kerajaan yang tidak disebutkan sebagai berkata, Jepun akan membangkitkan isu eksport senjata ke Rusia. – AFP
![](https://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2023/08/P11-A-web-Freepik_08082023.jpg)