TEHRAN, 16 NOV — Pihak berkuasa Iran memulakan operasi pembenihan awan bagi merangsang hujan ketika negara itu berdepan kemarau paling buruk dalam tempoh beberapa dekad, lapor media rasmi.
Menurut agensi berita IRNA lewat kelmarin, “hari ini, satu penerbangan pembenihan awan telah dijalankan di lembangan Tasik Urmia buat pertama kali bagi tahun air semasa,” yang bermula pada September.
Urmia, terletak di barat laut, merupakan tasik terbesar di Iran namun hampir kering sepenuhnya dan berubah menjadi hamparan garam susulan kemarau berpanjangan.
IRNA menambah, operasi susulan akan dilaksanakan di wilayah Azerbaijan Timur dan Azerbaijan Barat.
Pembenihan awan melibatkan penyemburan zarah seperti iodida perak dan garam ke dalam awan menggunakan pesawat bagi mencetuskan hujan.

Tahun lalu, Iran mengumumkan negara itu telah membangunkan teknologi sendiri untuk menjalankan kaedah tersebut.
Kelmarin, IRNA melaporkan hujan telah turun di wilayah Ilam, Kermanshah, Kurdistan dan Lorestan di sebelah barat, serta di Azerbaijan Barat di barat laut negara itu.
Ia memetik organisasi meteorologi negara sebagai berkata jumlah hujan menurun kira-kira 89 peratus tahun ini berbanding purata jangka panjang.
Media kerajaan turut menyiarkan rakaman salji turun di gunung dan resort ski Tochal di kawasan Tehran, terletak pada banjaran Alborz, buat kali pertama tahun ini.
Iran, sebuah negara yang sebahagian besarnya beriklim gersang, telah lama berdepan tempoh kemarau dan gelombang haba kronik yang dijangka bertambah buruk akibat perubahan iklim.
Di Tehran, jumlah hujan berada pada paras terendah dalam tempoh satu abad, menurut pegawai tempatan dan separuh daripada wilayah negara itu tidak menerima setitis hujan pun selama beberapa bulan.
Paras air di takungan yang membekalkan banyak wilayah turun ke tahap paling rendah dalam rekod.
Negara lain di rantau itu, termasuk Emiriah Arab Bersatu, turut menggunakan teknik pembenihan awan untuk menghasilkan hujan secara buatan. – AFP
