Saturday, February 8, 2025
22.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Iran lancar kapal induk pesawat udara dron pertama

    TEHRAN, 7 FEB – Iran telah merasmikan kapal induk pesawat udara dron pertamanya, dengan mengatakan kapal itu mampu beroperasi di lautan jauh dari tanah besarnya, lapor agensi berita rasmi IRNA, kelmarin.

    Laporan itu berkata kapal tersebut dikendalikan oleh tentera laut Pengawal Revolusi separa tentera, boleh membawa beberapa skuadron dron serta helikopter dan peluru berpandu krus. Kapal yang diberi nama Shahid Bagheri itu mampu melancarkan peluru berpandu krus, kata IRNA.

    Dengan landasan sepanjang 180 meter untuk dron, kapal itu boleh bergerak sehingga 22,000 batu nautika tanpa perlu mengisi minyak di pelabuhan. Laporan itu berkata ia ditukar daripada kapal komersial dan akan meningkatkan kuasa pencegahan Iran.

    Rakaman yang disiarkan oleh televisyen kerajaan semasa perasmian menunjukkan sekurang-kurangnya empat helikopter dan tiga dron di landasan kapal perang itu.

    Ketua Pengawal, Jeneral Hossein Salami berkata pada majlis tersebut bahawa kapal perang itu boleh melakukan perjalanan sendiri di laut sehingga satu tahun.

    Tambahnya, Iran perlu meningkatkan kapasiti pencegahannya terhadap perang, sambil menekankan bahawa Iran tidak mahu berperang dengan mana-mana negara.

    “Iran tidak dianggap sebagai ancaman kepada mana-mana negara, tetapi kami tidak tunduk kepada ancaman oleh mana-mana kuasa,” kata Salami.

    Ketua Pengawal Tentera Laut, Laksamana Ali Reza Tangsiri berkata ia mengambil masa lebih dua tahun untuk membina kapal perang dari kapal komersial itu. Laporan itu berkata kapal itu juga mempunyai hospital dan kemudahan seperti gimnasium untuk kru kapalnya. – AP

    Gambar menunjukkan kapal induk pesawat perang dron pertama Iran di Teluk Parsi pada 6 Februari. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda