TEHRAN, 23 MAC – Pengawal Revolusi Iran telah melancarkan sistem peluru berpandu baharu di tiga kepulauan strategik di Teluk, yang dikatakan mampu menyerang ‘pangkalan musuh, kapal, dan aset’ berdekatan, lapor media negara.
Sistem itu dipasang di Kepulauan Greater Tunb, Lesser Tunb dan Abu Musa, berhampiran Selat Hormuz.
Pengumuman itu dibuat tatkala Iran bersedia memberi respons kepada surat daripada Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, yang menggesa perbincangan nuklear semula dan memberi amaran tindakan ketenteraan jika Iran menolak.
Komander Tentera Laut Kor Pengawal Revolusi Islam, Alireza Tangsiri berkata sistem itu mampu menyerang pangkalan musuh, kapal dan aset di rantau serta memusnahkan sasaran dalam jarak 600 kilometer.
Pemimpin tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei memberi amaran bahawa ancaman AS ‘tidak akan membawa mereka ke mana-mana’ dan akan menerima ‘tamparan hebat’ jika bertindak terhadap Iran.
Pada bulan September, Tangsiri berkata Iran sedang ‘mengembangkan’ keupayaan pertahanannya di pulau-pulau tersebut. – AFP
