Friday, October 18, 2024
25.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Iran lawat Pakistan untuk perbaiki hubungan

    ISLAMABAD, 21 APRIL – Presiden Iran, Ebrahim Raisi akan pergi ke Islamabad esok untuk bertemu rakan sejawatannya dari Pakistan, Asif Ali Zardari, menurut kementerian luar Pakistan, ketika kedua-dua negara itu berusaha untuk memperbaiki hubungan berikutan serangan rentas sempadan tahun ini .

    Raisi akan diiringi oleh “delegasi peringkat tinggi yang terdiri daripada menteri luar negeri dan delegasi perniagaan yang besar,” tambah kenyataan itu pada hari ini.

    Serangan balas-membalas peluru berpandu pada Januari lalu di kawasan sempadan Balochistan, yang memisahkan kedua-dua negara itu menambah lagi ketegangan serantau yang telahpun dicetuskan oleh perang Israel-Hamas.

    Tehran melakukan serangan terhadap kumpulan anti-Iran di Pakistan pada minggu yang sama ia menyasarkan Iraq dan Syria.

    Pakistan pula bertindak balas dengan serbuan ke atas ‘sasaran militan’ di wilayah Sistan-Balochistan, Iran, salah satu daripada beberapa kawasan Islam Sunni di Iran yang dikuasai Syiah.

    Gambar Freepik

    Kedua-dua negara pada masa lalu telah menuduh satu sama lain sebagai melindungi militan.

    Lawatan ke Islamabad oleh menteri luar Tehran membolehkan kedua-dua pihak berjanji untuk memperbaiki perbincangan dan meningkatkan perhubungan di kedua-dua negara.

    Wilayah Sistan-Balochistan telah lama menghadapi pergolakan melibatkan kumpulan penyeludupan dadah rentas sempadan dan pemberontak dari etnik minoriti Baloch, dan pelampau Islam.

    Raisi juga akan melawat Lahore dan Karachi untuk bertemu pemimpin wilayah, menurut kenyataan itu.

    Kedua-dua negara itu akan mengukuhkan lagi hubungan dan meningkatkan kerjasama dalam “perdagangan, perhubungan, tenaga, pertanian, dan hubungan rakyat dengan rakyat,” tambahnya. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda