Tuesday, February 11, 2025
31.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    ‘Iran mampu sekat Selat Hormuz, tetapi bukan masa ini’

    TEHRAN, 10 FEB – Komander Tentera Laut Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC), Alireza Tangsiri kelmarin berkata negara itu mampu menyekat Selat Hormuz yang strategik, tetapi tidak akan mengambil langkah sedemikian buat masa ini, lapor Xinhua yang memetik agensi berita Tasnim.

    Beliau membuat kenyataan itu ketika bercakap kepada wartawan di bandar pelabuhan selatan Iran, Bandar Abbas, sebagai respons kepada ancaman Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, serta sekatan terhadap sektor minyak Iran.

    “Dari segi ketenteraan, kami mampu menutup Selat Hormuz, tetapi kami tidak akan mengambil tindakan sedemikian buat masa ini selagi kami sendiri masih menggunakannya.

    “Keupayaan peluru berpandu, kapal, dron dan peralatan lain kami adalah jauh lebih hebat daripada isu ini,” katanya.

    Tangsiri menegaskan bahawa Iran sentiasa bertindak balas terhadap tindakan bermusuhan dengan negara itu dalam beberapa tahun kebelakangan ini, menjelaskan bahawa negara itu tidak tunduk kepada paksaan dan kekal komited mempertahankan hak negaranya.

    Beliau turut menolak usaha AS untuk menghentikan sepenuhnya eksport minyak Iran, sambil menegaskan bahawa sekatan Barat sebaliknya mendorong Iran mencapai kemajuan yang ketara.

    Trump Selasa lalu menegaskan bahawa beliau tidak akan membiarkan Iran ‘memiliki senjata nuklear’ dan menandatangani perintah eksekutif bagi mengembalikan kempen ‘tekanan maksimum’ terhadap negara itu.

    Terletak di antara Oman dan Iran, Selat Hormuz merupakan antara laluan perkapalan minyak terpenting di dunia. – Bernama

    Gambar Envato
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda