Iran nafi halang kapal tangki Britain

TEHRAN, 11 JULAI – Pengawal Revolusi Iran hari ini menafi mereka telah menghalang sebuah kapal tangki minyak Britain di Selat Hormuz, kata agensi berita Sepah.

“Tidak adanya konfrontasi dalam tempoh 24 jam lalu dengan mana-mana kapal asing, termasuk Britain,” kata Pengawal Revolusi dalam satu kenyataan.

Britain berkata hari ini tiga buah bot Iran telah berusaha ‘menghalang perjalanan’ sebuah kapal tangki minyak Britain di perairan Teluk, memaksa kapal perang UK HMS Montrose campur tangan. Kenyataan Pengawal berkata sekiranya mereka diarahkan merampas kapal asing mereka akan melakukannya ‘dengan serta-merta.’

Kejadian itu menyusuli penahanan sebuah kapal tangki minyak Iran oleh Britain pada 4 Julai lalu di luar pantai Gibraltar, sebuah wilayah luar negara Britain di selatan Sepanyol.

Kapal tangki, Grace 1 sepanjang 330 meter yang berupaya membawa dua juta tong minyak itu, dihalang oleh polis dan kastam di Gibraltar dengan bantuan Marin Diraja Britain.

Iran mengutuk penahanan sebagai ‘pemintasan haram,’ namun pegawai Gibraltar berkata kargo itu dipercayai sedang menuju ke Syria, yang tertakluk kepada sekatan Eropah.

Presiden Iran Hassan Rouhani mengingatkan Britain semalam tentang ‘akibat perbuatan bodoh Britain’. – AFP