TEHRAN, 15 OGOS – Pegawai kerajaan Iran hari ini menafikan Tehran terbabit dalam serangan yang mencederakan penulis kontroversi, Salman Rushdie di Amerika Syarikat (AS) minggu lalu.
Jurucakap Kementerian Luar Iran, Nasser Kanaani, mengatakan, “Tiada sesiapa berhak menuduh Iran dalam hal ini.
“Dalam insiden serangan ke atas Salman Rushdie di AS, kami tidak menganggap sesiapa pun patut dipersalahkan dan dituduh kecuali dia (Salman) dan penyokongnya,” katanya pada satu taklimat media mingguan.
Ia merupakan kenyataan umum pertama negara itu sejak penulis novel Satanic Verses itu cedera ditikam di atas pentas semasa menghadiri satu acara di Institut Chautauqua di New York pada 12 Ogos lalu.
Menurut Kanaani, Iran tidak mempunyai maklumat lain mengenai penyerang Rushdie.
Rushdie, 75, dimasukkan ke hospital akibat luka tikaman itu dan dirawat menggunakan alat bantuan pernafasan, namun sudah pun terlepas daripada bahaya apabila dia tidak lagi perlukan alat bantuan pernafasan hari ini.
Penulis kelahiran India itu hidup dalam ‘buruan’ sejak penerbitan novel kontroversi itu pada 1988 yang dilihat sebilangan umat Islam sebagai mengandungi petikan yang menghina.
Pada 1989, pemimpin tertinggi Iran ketika itu, Ayatollah Ruhollah Khomeini, mengeluarkan fatwa, menyeru umat Islam membunuh penulis novel itu dan sesiapa sahaja yang terbabit dalam penerbitan buku berkenaan.
Fatwa itu tidak pernah dibatalkan secara rasmi dan beberapa penterjemah novel itu pernah diserang sebelum ini. – AFP
