Jumaat, 21 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Iran perluas larangan bawa anjing di tempat awam

    TEHRAN, 8 JUN – Pihak berkuasa Iran telah meluaskan larangan membawa anjing berjalan di tempat awam ke beberapa bandar utama di seluruh negara, atas alasan kesihatan awam, ketenteraman sosial dan keselamatan, lapor media Iran hari ini.

    Menurut laporan, larangan itu menyerupai arahan polis pada tahun 2019 yang mengharamkan membawa anjing berjalan di Tehran dan kini sedang diperluaskan ke bandar Ilam di barat Iran mulai hari ini.

    Sekurang-kurangnya 17 bandar lain turut memperkenalkan larangan serupa dalam beberapa hari kebelakangan ini, termasuk Isfahan di tengah Iran dan Kerman di selatan.

    Memiliki dan membawa anjing berjalan-jalan merupakan sebuah isu yang sering diperdebatkan sejak Revolusi Islam 1979, meskipun tiada undang-undang yang secara langsung mengharamkan pemilikan anjing.

    Pihak berkuasa tempatan secara berkala telah memperkenalkan larangan membawa anjing berjalan di kawasan awam atau membawanya dalam kenderaan, sebagai sebahagian daripada kempen yang lebih meluas untuk menghalang pemilikan haiwan tersebut.

    Gambar Freepik

    Pelaksanaan larangan itu bagaimanapun tidak konsisten, kerana ramai pemilik anjing masih membawa haiwan peliharaan mereka berjalan-jalan di Tehran dan bandar-bandar lain di Iran.

    Hari ini, akhbar reformis Etemad memetik seorang pegawai dari bandar Ilam sebagai berkata “tindakan undang-undang akan diambil terhadap mereka yang melanggar peraturan,” tanpa memberikan butiran lanjut.

    Kelmarin, akhbar milik kerajaan Iran melaporkan bahawa langkah terbaru ini bertujuan untuk “mengekalkan ketenteraman awam, memastikan keselamatan dan melindungi kesihatan awam”.

    “Membawa anjing berjalan merupakan ancaman terhadap kesihatan awam, ketenangan dan keselesaan masyarakat,” kata pendakwa raya bandar Hamedan, Abbas Najafi, seperti dipetik oleh akhbar Iran.

    Pada tahun 2021, seramai 75 ahli parlimen mengecam pemilikan haiwan peliharaan sebagai “masalah sosial yang merosakkan”, dengan menyatakan bahawa ia boleh “secara beransur-ansur mengubah cara hidup Iran dan Islam”. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda