TEHRAN, 1 Feb – Iran hari ini mengesahkan bahawa ia sudah menguji misil balistiknya namun menafikan ia mencabuli perjanjian nuklear 2015nya dengan kuasa-kuasa dunia.
“Tindakan itu adalah sejajar dengan mempertingkatkan kuasa pertahanan Iran dan bukannya bercanggah dengan JCPOA (perjanjian nuklear) atau Resolusi 2231,” Menteri Pertahanan Hossein Dehghan mengatakan.
Dia merujuk kepada resolusi Majlis Keselamatan PBB yang mengharamkan Iran daripada membangunkan misil-misil yang boleh membawa peledak nuklear.
“Ujian ini adalah sejajar dengan program yang kami sedang jalankan,” agensi berita ISNA memetik Dehghan sebagai berkata.
“Kami sebelumnya sudah mengumumkan bahawa kami akan melaksanakan program-program yang kami rancangkan bagi menghasilkan peralatan pertahanan yang mempunyai kepentingan dan objektif nasional. Tidak ada sesiapa boleh mempengaruhi keputusan kami.” – AFP