Tuesday, May 13, 2025
29.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Iran selar salah laporan inspektor pemantau PBB

    TEHRAN, 2 FEB – Iran berkata seorang pemeriksa nuklear Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) tersilap tentang perubahan rahsia kepada salah satu kluster pengayaan uraniumnya dan berkata isu itu kini telah diselesaikan, lapor media kerajaan.

    Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA)berkata Iran telah mengubah suai secara besar-besaran penyambung antara dua kelompok emparan memperkaya uranium sehingga 60 peratus di Loji Pengayaan Bahan Api Fordo (FFEP).

    Dalam laporan sulit yang dilihat oleh AFP semalam, dinyatakan bahawa ia telah dilakukan tanpa mengisytiharkannya kepada IAEA.

    “Seorang pemeriksa agensi secara tidak sengaja melaporkan bahawa Iran telah membuat perubahan dalam prosedur operasi di tapak pengayaan yang tidak diumumkan sebelum ini,” agensi berita IRNA memetik ucapan jurucakap Pertubuhan Tenaga Atom Iran, Behrouz Kamalvandi semalam.

    Tehran memberikan penjelasan kepada pemeriksa dan pemeriksa berkenaan menyedari kesilapannya, katanya. “Selepas penyelarasan dengan sekretariat agensi, perkara itu telah diselesaikan.”

    IAEA berkata semasa pemeriksaan Fordo yang tidak diumumkan pada 21 Januari mendapati bahawa “dua penutup empar IR-6 saling bersambung dengan cara yang jauh berbeza daripada cara operasi yang diisytiharkan oleh Iran kepada agensi itu.”

    Sejak akhir tahun lalu, dua penutup itu telah digunakan untuk menghasilkan uranium yang diperkaya sehingga 60 peratus, tambah laporan itu kepada negara anggota.

    IAEA tidak menyatakan jenis perubahan yang dibuat pada kesalinghubungan antara penutup.

    Ketua Pengarah IAEA, Rafael Grossi melahirkan kebimbangan bahawa “Iran telah melaksanakan perubahan besar dalam maklumat reka bentuk FFEP berhubung dengan pengeluaran uranium yang diperkaya tanpa memaklumkan kepada agensi terlebih dahulu.” – AFP

    Jurucakap Pertubuhan Tenaga Atom Iran, Behrouz Kamalvandi. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda