TEHRAN, 30 MEI – Iran telah ‘menyelesaikan’ satu daripada tiga kes yang dibangkitkan oleh badan pemerhati PBB sebagai bukti kemungkinan ia tidak mengisytiharkan semua aktiviti nuklearnya yang lalu, lapor media Iran hari ini.
Laporan itu datang hanya beberapa hari sebelum lembaga pengelola Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) dijadualkan ber mesyuarat untuk mengkaji kemajuan dalam menangani kebimbangan yang masih ada oleh badan pemerhati itu.
IAEA telah melaporkan penemuan kesan bahan radioaktif di tiga lokasi yang tidak diisytiharkan oleh Iran sebagai tempat yang pernah menjalankan aktiviti nuklear pada masa lalu yang merupakan tamparan kepada usaha memulihkan perjanjian penting 2015 antara Tehran dan kuasa-kuasa besar.
“Dengan penambahbaikan interaksi antara Iran dan IAEA, kes berkaitan salah satu lokasi yang didakwa agensi itu, Abadeh, telah diselesaikan,” lapor agensi berita Iran Fars. – AFP