TEHRAN, 13 JULAI – Pihak berkuasa Iran menyerbu sebuah lokasi di ibu negara Tehran kelmarin yang didakwa digunakan oleh ‘ejen Israel’ untuk menghasilkan dron, lapor Anadolu Ajansi (AA).
Rakaman yang dikeluarkan oleh pihak polis menunjukkan beberapa komponen dron dan bahan letupan ditemukan di lokasi serbuan. Polis bagaimanapun tidak mendedahkan lokasi tepat bengkel itu, hanya menyatakan ia terletak di Tehran.
Israel sebelum ini menggunakan dron kamikaze dalam serangannya ke atas wilayah Iran bulan lalu. Dalam serangan itu, pihak berkuasa Iran turut mengumumkan penyitaan beberapa bengkel yang didakwa menghasilkan dron jenis itu untuk Israel di beberapa bandar utama, termasuk Tehran dan Isfahan.
Konflik selama 12 hari antara Israel dan Iran tercetus pada 13 Jun selepas Tel Aviv melancarkan serangan udara ke atas kemudahan ketenteraan, nuklear dan awam Iran, yang mengorbankan sekurang-kurangnya 606 orang dan mencederakan 5,332 yang lain, menurut Kementerian Kesihatan Iran.
Sebagai tindak balas, Tehran melancarkan serangan peluru berpandu dan dron ke atas wilayah dikuasai Israel, mengorbankan sekurang-kurangnya 29 orang dan mencederakan lebih 3,400 lagi, menurut angka yang dikeluarkan oleh Universiti Ibrani Jerusalem. Konflik berakhir selepas gencatan senjata mula berkuat kuasa pada 24 Jun. – Bernama/Anadolu
