TEHRAN, 20 FEB – Iran telah menahan pasangan Britain, Craig dan Lindsay Foreman yang dituduh melakukan pengintipan dan bekerjasama dengan perkhidmatan perisikan Barat, kata badan kehakiman, Selasa lalu.
Kementerian Luar Britain berkata, ia sangat bimbang dengan pengumuman Iran itu.
“Kami terus membangkitkan kes ini secara langsung dengan pihak berkuasa Iran,” tambahnya.
Jurucakap Badan kehakiman Iran, Asghar Jahangir berkata, pasangan itu dituduh memasuki Iran dengan menyamar sebagai pelancong dan mengumpul maklumat sebelum mereka ditangkap di wilayah tenggara Kerman.
Menurut laman web badan kehakiman, Mizan Online, Ketua Hakim Kerman, Ebrahim Hamidi, berkata hubungan pasangan itu dengan perkhidmatan perisikan asing telah disahkan.
“Siasatan tambahan masih diteruskan,” kata Hamidi.
Jahangir berkata, pasangan itu telah ditahan oleh Kor Pengawal Revolusi Islam Iran atas tuduhan pengintipan. – AFP
