Wednesday, December 25, 2024
22.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Iran terima isyarat pertama daripada satelit Kowsar, Hodhod

    TEHRAN, 6 NOV – Dua satelit buatan tempatan yang dilancarkan Iran pada Selasa dengan kerjasama Rusia mula menghantar isyarat, menunjukkan keadaan sempurna dan kedudukan orbit yang stabil, lapor Agensi Berita Republik Islam, IRNA.

    Penerimaan isyarat itu membawa beberapa makna. Pertama, pelancaran satelit berjaya sepenuhnya dan kedua, operasi satelit serta pemisahan daripada pembawa juga berjaya, kata Hossein Shahrabi, Ketua Pegawai Eksekutif Omidfaza, syarikat swasta Iran yang bertanggungjawab dalam penghasilan dan pelancaran kedua-dua satelit itu.

    “Bagi kami, penerimaan ini bermakna antena satelit dibuka sepenuhnya dan pemisahannya daripada pembawa berjaya,” tambahnya.

    Satelit yang dinamakan Kowsar dan Hodhod itu dilancarkan ke angkasa dari timur Rusia menggunakan roket pembawa Soyuz pada awal pagi kelmarin dan berjaya ditempatkan pada ketinggian 500 km dari orbit Bumi.

    Data dan imej daripada kedua-dua satelit itu berguna dalam sektor pertanian, kaji selidik tanah, pengangkutan dan alam sekitar.

    Kelebihan besar satelit Hodhod adalah misinya untuk mewujudkan platform bagi menyediakan perkhidmatan Internet Benda (IoT) jalur sempit dengan liputan antarabangsa serta di kawasan terpencil, termasuk hutan dan pergunungan. – Bernama

    Gambar Freepik
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda