TEHRAN, 13 OKT – Iran hari ini berkata, baik Presidennya, Masoud Pezeshkian mahupun Menteri Luar Abbas, Araghchi tidak akan menghadiri sidang kemuncak Gaza di Mesir selepas mengesahkan jemputan daripada negara tuan rumah.
Agensi berita rasmi IRNA melaporkan, Mesir telah menjemput Iran pada malam kelmarin untuk menyertai sidang kemuncak yang diadakan hari ini di pusat peranginan Laut Merah, Sharm el-Sheikh.
Namun, pada awal pagi hari ini, Araghchi menulis di X: “Baik Presiden Pezeshkian mahupun saya tidak dapat berinteraksi dengan rakan sejawat yang telah menyerang rakyat Iran dan terus mengancam serta mengenakan sekatan terhadap kami,” merujuk kepada Amerika Syarikat (AS).
Washington sebelum ini menyertai Israel dalam serangan yang menyasarkan tapak nuklear Iran semasa perang selama 12 hari pada bulan Jun.
Menteri itu berkata Tehran bagaimanapun menyokong sebarang inisiatif “untuk menamatkan pembunuhan beramai-ramai oleh Israel di Gaza” dan mempertahankan hak rakyat Palestin untuk menentukan nasib sendiri.
Iran tidak mengiktiraf Israel dan telah menjadikan sokongan terhadap perjuangan Palestin sebagai tonggak dasar luar negaranya sejak Revolusi Islam 1979 yang menumbangkan shah Iran yang disokong AS.
Sidang kemuncak keamanan Gaza itu, yang dipengerusikan bersama oleh Presiden AS Donald Trump dan rakan sejawatnya dari Mesir, Abdel Fattah al-Sisi, bertujuan untuk mengukuhkan gencatan senjata dan merangka kerangka politik pasca perang.
Pemimpin dari lebih 20 negara dijangka menghadiri sidang itu, walaupun Israel dan Hamas tidak akan mengambil bahagian. – AFP


