TEHRAN, 3 JAN – Iran tidak bercadang untuk menyertai Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) dalam tempoh terdekat memandangkan keanggotaannya dalam pertubuhan serantau utama lain adalah setaraf dengan keanggotaan dalam WTO, lapor Sputnik memetik kenyataan Timbalan Menteri Luar bagi Diplomasi Ekonomi Iran, Mahdi Safari.
“Kami adalah negara pemerhati (WTO), dan dengan keanggotaan dalam BRICS, SCO (Persatuan Kerjasama Shanghai), EAEU (Persatuan Ekonomi Eurasia), ECO (Organisasi Kerjasama Ekonomi) – adalah setaraf WTO.
“Kami tidak melihat keperluan untuk menganggotai WTO… kerana keahlian kami dalam pertubuhan-pertubuhan ini sudah hampir secara automatik menjadi anggota WTO di peringkat serantau dan menikmati manfaatnya. Kedudukan ini menguntungkan semua pihak,” menurut Safari.
Keanggotaan Tehran dalam kumpulan-kumpulan berkenaan memenuhi hampir kesemua keperluan negaranya di peringkat serantau dan global, menurut diplomat itu.
“Namun jika ditawarkan keanggotaan dalam WTO, Iran akan menyertainya,” katanya.
Pada masa yang sama, diplomat itu yang ditemu bual oleh Sputnik mengenai perdagangan bebas dengan EAEU, berkata perjanjian itu memberikan impak besar kepada perdagangan Iran-Rusia, dan mewujudkan prospek untuk menjalin kerjasama yang berjaya dalam kewangan, transit, tenaga, teknologi dan projek berintensifkan pengetahuan. – Bernama
