TEHRAN, 21 FEB – Iran menolak kenyataan Ketua Agensi Tenaga Nuklear Antarabangsa (IAEA) Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu, Rafael Grossi kelmarin mengenai program nuklearnya, menggelarnya sebagai tidak profesional dan berbaur politik.
Pada sidang media di Tokyo, Grossi berkata Iran memperkayakan (uranium) pada 60 peratus, menghampiri paras senjata. Beliau juga menyifatkan perjanjian nuklear 2015 dengan Iran sebagai tidak penting dan tidak lagi memenuhi tujuan.
Timbalan Menteri Luar Iran, Kazem Gharibabadi membidas kenyataan Grossi tersebut dengan menegaskan program nuklear negaranya adalah semata-mata untuk tujuan damai.
Begitu juga, Pertubuhan Tenaga Atom Iran berkata kenyataan Grossi boleh digunakan oleh Amerika Syarikat (AS) dan negara Barat lain sebagai alasan untuk memberikan tekanan yang tidak adil ke atas Iran.
Dalam ucapannya, Grossi berkata Iran telah melepasi had yang ditetapkan oleh perjanjian 2015, sambil menambah matlamat pada masa ini adalah untuk menghalang Iran daripada mendapatkan senjata nuklear.
Perjanjian itu – dikenali sebagai Pelan Tindakan Komprehensif Bersama – berikutan penarikan Washington daripada perjanjian itu pada 2018 semasa penggal pertama Presiden AS, Donald Trump, yang kembali memegang jawatan itu bulan lalu. – AFP
