TEHRAN, 26 April – Presiden Iran Hassan Rouhani semalam menolak sebarang harapan untuk merangka semula perjanjian nuklear dengan kuasa-kuasa dunia, sementara rakan sejawatannya dari Perancis berjanji kepada parlimen Amerika Syarikat (AS) bahawa segala usaha akan dilakukan untuk menghentikan Iran dari memperoleh senjata nuklear.
Dengan cara yang berbeza, Eropah, Iran dan Rusia semuanya berusaha untuk meyakinkan Presiden AS Donald Trump agar tidak menarik diri daripada perjanjian 2015, yang menyekat program nuklear Iran sebagai pertukaran kepada pembatalan sekatan.
Trump menggelar perjanjian yang ada sebagai ‘gila’ dan ‘tidak masuk akal,’ yang mana sebahagiannya disebabkan sekatan, yang mulai luput pada 2025.
Namun ketika menyampaikan ucapan di kongres AS pada akhir lawatan tiga hari ke Washington, Presiden Perancis Emmanuel Macron berkata: “Iran tidak sekali-kali akan memiliki sebarang senjata nuklear. Bukan sekarang. Bukan dalam lima tahun. Bukan dalam 10 tahun. Tidak sekali-kali.”

Dia telah mencadangkan satu perjanjian tambahan untuk meneruskan sekatan nuklear Iran sementara mengawal program peluru berpandu balistik dan menyokong militia di Timur Tengah.
Di Iran, Rouhani mengamalkan dasar yang lebih agresif, menekankan bahawa republik Islam itu tidak akan menerima sebarang perubahan dalam perjanjian.
“Kami mempunyai satu perjanjian yang dipanggil JCPOA. Sama ada ia akan bertahan atau tidak bertahan. Jika JCPOA kekal, ia akan kekal sepenuhnya,” katanya. – AFP