BAGHDAD, 12 OGOS – Iraq kini berdepan krisis kekurangan air yang serius berikutan kemarau dan pengurangan aliran air dari negara jiran, kata Penasihat Kementerian Pertanian, Mahdi Damad kepada Sputnik/RIA Novosti.
“Kegagalan membekalkan air minum ke wilayah-wilayah serta penyusutan simpanan air bawah tanah menimbulkan ancaman besar.
“Pada 2019, simpanan mencecah 65 bilion meter padu hasil hujan… Kini aliran air dari negara jiran (Iran dan Turkiye) amat sedikit dan hujan pula sangat kurang,” katanya.
Beliau menegaskan Iraq perlu mewujudkan pasukan perunding yang berwibawa untuk berunding dengan negara jiran bagi memastikan bekalan sumber air mencukupi.
Pihak berkuasa Iraq mengaitkan krisis ini bukan sahaja dengan faktor iklim, tetapi juga pembinaan empangan oleh Turkiye dan Iran di Sungai Tigris dan Euphrates yang memainkan peranan penting dalam kelangsungan hidup negara itu. – Bernama


