Sabtu, 22 November 2025
29.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Iraq import bekalan elektrik dari Turkiye

    BAGHDAD, 21 JULAI – Iraq hari ini mengumumkan bahawa satu talian kuasa baharu akan membawa elektrik dari Turkiye ke wilayah utara negara itu sebagai usaha pihak berkuasa untuk mempelbagaikan sumber tenaga bagi mengurangkan gangguan bekalan elektrik yang kritikal.

    Talian sepanjang 115 kilometer itu menyambung ke stesen jana kuasa Kisik di barat Mosul dan akan menyediakan 300 megawatt dari Turkiye ke wilayah utara Iraq, termasuk Nineveh, Salah al-Din dan Kirkuk, menurut kenyataan pejabat Perdana Menteri.

    Perdana Menteri, Mohamed Shia al-Sudani berkata talian baharu itu adalah langkah ‘strategik’ untuk menghubungkan Iraq dengan negara jiran.

    “Talian ini mula beroperasi hari ini,” kata jurucakap Kementerian Elektrik, Ahmed Moussa, kepada AFP.

    Peperangan selama beberapa dekad telah meninggalkan infrastruktur Iraq dalam keadaan usang, dengan gangguan bekalan elektrik bertambah teruk pada musim panas yang terik apabila suhu sering mencecah 50 darjah Celsius.

    Gambar Freepik

    Banyak isi rumah hanya mempunyai beberapa jam elektrik utama sehari dan mereka yang mampu menggunakan penjana persendirian untuk memastikan peti sejuk dan pendingin hawa berfungsi.

    Walaupun memiliki rizab minyak yang luas, Iraq masih bergantung pada barangan import untuk memenuhi keperluan tenaga, terutama dari negara jiran, Iran, yang memotong bekalan dengan kerap.

    Sudani berulang kali menekankan keperluan untuk Iraq mempelbagaikan sumber tenaga bagi mengurangkan gangguan bekalan yang kritikal.

    Untuk mengurangkan pergantungan pada gas Iran, Baghdad telah meneroka beberapa kemungkinan termasuk import dari negara-negara Teluk.

    Kerajaan Iraq menyasarkan “untuk melengkapkan sambungan dengan grid elektrik Majlis Kerjasama Teluk (GCC) menjelang akhir tahun ini,” kata Sudani hari ini.

    “Ini akan membolehkan Iraq mengintegrasikan ke dalam sistem tenaga serantau,” yang membolehkannya mempelbagaikan sumber tenaganya, tambah beliau.

    Pada bulan Mac, talian kuasa sepanjang 340 kilometer mula beroperasi untuk membawa elektrik dari Jordan ke Al-Rutbah di barat daya Iraq. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda