BAGHDAD, 17 MAC – Pasukan keselamatan Iraq merampas lebih satu tan tablet captagon yang diseludup dari Syria melalui Turkiye, menurut Kementerian Dalam Negeri kelmarin.
Jurucakap kementerian, Jeneral Moqdad Miri, berkata Direktorat Narkotik telah menahan sebuah trak dari Syria yang menuju ke Iraq melalui Turkiye dengan membawa 1.1 tan dadah sintetik berkenaan.
“Rampasan ini merupakan antara yang terbesar di Iraq dalam beberapa tahun kebelakangan ini dan melibatkan tujuh juta pil,” kata seorang pegawai keselamatan kepada AFP.
Ia juga merupakan rampasan pertama yang diumumkan sejak kejatuhan Presiden Syria, Bashar al-Assad, pada Disember lalu, di mana rejimnya didakwa menghasilkan dadah itu secara besar-besaran.
Menurut rakaman video yang dikeluarkan oleh kementerian, dadah tersebut dipindahkan dari sebuah trak Turkiye ke trak Iraq berhampiran satu lintasan sempadan antara kedua-dua negara. – AFP
