NAJAF, 2 JUN – Pihak berkuasa Iraq hari ini melancarkan siasatan berhubung kejadian kematian besar-besaran ikan di kawasan paya di selatan negara itu, insiden terbaharu dalam siri kejadian serupa sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Antara punca yang mungkin menyebabkan kejadian tersebut termasuk kekurangan oksigen akibat aliran air yang rendah, peningkatan penyejatan dan suhu yang semakin meningkat berpunca daripada perubahan iklim.
Punca lain yang turut dipertimbangkan adalah penggunaan bahan kimia oleh nelayan bagi memudahkan proses menangkap ikan, menurut pegawai tempatan dan aktivis alam sekitar kepada AFP.
Imej yang dirakam AFP menunjukkan sejumlah besar ikan berwarna perak terapung di kawasan paya Ibn Najm berhampiran bandar Najaf di selatan Iraq. Beberapa ekor kerbau dilihat berada di tengah-tengah bangkai ikan sambil cuba menyejukkan diri di dalam air.
“Kami menerima beberapa aduan daripada orang awam,” kata Ketua Pegawai Alam Sekitar di Najaf, Jamal Abd Zeid, sambil memaklumkan bahawa satu pasukan pemeriksaan teknikal telah ditubuhkan.

Seorang jurugambar AFP yang berada di lokasi melihat kakitangan awam mengutip sampel air dari kawasan paya berkenaan.
Antara aspek yang disiasat oleh pasukan tersebut termasuk kekurangan air, aktiviti penangkapan ikan menggunakan kejutan elektrik serta penggunaan ‘racun’ oleh nelayan, jelas Abd Zeid.
Iraq telah mengalami kemarau berterusan sejak sekurang-kurangnya lima tahun lalu, yang diburukkan lagi oleh perubahan iklim. Pihak berkuasa turut menyalahkan pembinaan empangan oleh negara jiran, Iran dan Turkiye, yang menyebabkan pengurangan drastik dalam aliran sungai di Iraq.
Kemusnahan alam semula jadi di Iraq menambah beban penderitaan ke atas sebuah negara yang telah sekian lama terkesan akibat peperangan dan penindasan politik.
“Kami memerlukan ujian makmal bagi menentukan punca sebenar kematian ikan ini,” kata aktivis alam sekitar, Jassim al-Assadi. – AFP

