AL-QAIM, IRAQ, 30 SEPT – Sempadan penyeberangan di lebuh raya utama menghubungkan bandar-bandar Iraq dan Syria, dirampas oleh kumpulan jihad Islamic State (IS) pada 2014, dibuka semula hari ini, menurut wartawan AFP.
Pasukan keselamatan Iraq telah menawan semula pos sempadan dekat bandar Al-Qaim pada lewat 2017 sebagai sebahagian daripada operasi besar-besaran yang disokong oleh pasukan gabungan antarabangsa menentang kumpulan jihad yang mendakwa diri mereka ‘kalifah’.
Hari ini, jurnalis video AFP menyaksikan trak-trak mengangkut kargo di seluruh terminal, yang terletak dekat lebuh raya besar menghubungkan Baghdad dan Damsyik. Dekat dengan sungai Euphrates di wilayah Anbar, Iraq yang bergolak, Al-Qaim berhadapan Albu Kamal di rantau Deir Ezzor, timur Syria.
Ia satu-satunya penyeberangan antara dua negara yang dikawal oleh pasukan rejim Syria di sebelah pihak dan pihak berkuasa persekutuan Iraq di sebelahnya. Penyeberangan lain telah musnah dalam pertempuran itu, sementara yang lain dikawal oleh pasukan Kurdish yang mempunyai darjah autonomi di kedua-dua negara.
Sempadan sepanjang 600km yang terbentang di gurun dan gunung-gunung menjadikan ia sangat sukar untuk dikawal. – AFP
