Friday, December 27, 2024
24.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Iraq terima suntikan dana bernilai AS$30 bilion

    BANDAR KUWAIT, 15 Feb – Persidangan Antarabangsa Kuwait Untuk Pembangunan Semula Iraq (KICRI) yang melabuhkan tirainya semalam, berjaya mengumpul dana berjumlah AS$30 bilion bagi merealisasikan impian rakyat di negara itu setelah berjaya membebaskan diri sepenuhnya daripada cengkaman kumpulan militan Daesh.

    Jumlah itu dikumpul hasil keprihatinan 76 negara yang menyertai persidangan itu, termasuk 51 dana pembangunan dan institusi kewangan,107 badan bukan kerajaan (NGO) dan 1,850 syarikat antarabangsa.

    Penganjuran KICRI yang dinaungi Emir Kuwait, Sheikh Sabah Al-Ahmad Al-Jaber Al-Sabah, menyaksikan komitmen Kuwait dalam menyokong saudaranya di Iraq dengan memperuntukkan sejumlah AS$1 bilion sebagai pelaburan bagi pembangunan semula Iraq dan tambahan AS$1 bilion lagi sebagai pinjaman, tidak termasuk sumbangan oleh badan kebajikan negara itu.

    Kesatuan Eropah (EU) turut melabur sebanyak AS$400 juta sebagai bantuan kemanusiaan untuk memastikan keamanan dan kestabilan berterusan di Iraq.

    Kerajaan Arab Saudi turut menzahirkan komitmennya dengan memperuntukkan sejumlah AS$1 bilion bagi pembinaan semula negara itu menerusi Dana Saudi untuk Pembangunan, selain AS$500 juta tambahan untuk pembiayaan eksport Arab Saudi ke Iraq.

    Turki pula berikrar untuk memberikan dana berjumlah AS$5 bilion dalam bentuk pinjaman dan kemudahan kredit manakala Qatar mengumumkan pakej pinjaman dan pelaburan bernilai AS$1 bilion kepada Iraq di persidangan itu.

    Sementara itu, Emiriah Arab Bersatu (UAE) memberikan sumbangan sebanyak AS$500 juta.

    Tidak ketinggalan dalam menzahirkan komitmen untuk membantu Iraq pada persidangan itu ialah Malaysia, yang turut mengumumkan sumbangan sebanyak AS$100,000.

    Persidangan yang dipengerusikan bersama oleh Kuwait, Iraq, Kesatuan Eropah, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan Bank Dunia turut mengadakan Mesyuarat Gabungan Global Menentang Daesh bagi merangka usaha dan strategi dalam kalangan 74 rakan kongsinya untuk memerangi keganasan. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda