DUBLIN, 10 APRIL – Ireland akan memulakan usaha untuk mengiktiraf negara Palestin dalam beberapa minggu akan datang, kata Menteri Luar Ireland, Micheal Martin, di Dublin semalam.
Martin berkata beliau akan membawa cadangan rasmi mengenai pengiktirafan negara Palestin kepada kerajaan apabila ‘perbincangan antarabangsa yang lebih luas’ selesai.
“Jangan ragu, pengiktirafan negara Palestin akan berlaku,” katanya semasa berucap di Parlimen Ireland.
“Menangguhkan pengiktirafan tidak lagi munasabah atau boleh diterima lagi,” katanya.
Martin kemudian memberitahu laman berita tempatan, Jurnal, bahawa cadangan rasmi itu akan berlaku ‘dalam beberapa minggu akan datang’.
Katanya, sejak enam bulan lalu, beliau telah berbincang mengenai pengiktirafan Palestin dengan negara lain yang terlibat dalam inisiatif keamanan.
Bulan lalu, pemimpin Sepanyol, Ireland, Slovakia dan Malta berkata dalam satu kenyataan bersama bahawa mereka bersedia untuk mengiktiraf negara Palestin.
Ireland telah lama berkata ia tidak mempunyai bantahan pada dasarnya untuk mengiktiraf negara Palestin secara rasmi jika ia dapat membantu proses damai di Asia Barat tetapi perang di Gaza telah memberikan dorongan baharu kepada isu itu.
Pengiktirafan kenegaraan ‘boleh menjadi pemacu untuk membantu penduduk Gaza dan Tebing Barat dan dalam mempercepatkan inisiatif damai yang dipimpin oleh negara Arab,” katanya. – AFP


