MOSCOW, 3 OGOS – Ireland akan kekal berkecuali dan tidak bercadang menyertai NATO seperti Finland dan Sweden, lapor Sputnik memetik Perdana Menteri Ireland, Leo Varadkar hari ini.
Perbincangan mengenai kemungkinan Ireland menyertai NATO tercetus ekoran dakwaan kehadiran kapal Rusia berhampiran pantai di barat laut dan barat daya Ireland Mac lepas.
Ada yang menganggap kehadiran kapal itu sebagai percubaan untuk mendorong Ireland menyertai pakatan berkenaan.
“(Ireland) tidak akan menjadi kuasa tentera yang penting, tidak akan menjadi aset besar kepada NATO, andai kami menyertainya,” kata Varadkar kepada Financial Times.
Beliau berkata peranan Ireland dalam mana-mana konflik, termasuk di Ukraine, terhad kepada membekalkan peralatan bukan senjata selain bantuan kemanusiaan.
Sikap berkecuali Ireland disokong oleh kedudukannya yang relatif di benua Eropah dan sejarahnya yang pernah menjadi jajahan British, menurut akhbar itu. – Bernama