Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 26 April – Irene Wong membuat pilihan yang bertuah apabila beliau berjaya memenangi hadiah pertama berupa pakej percutian lima hari empat malam ke Hong Kong menggunakan Penerbangan Diraja Brunei (RB) untuk dua orang serta pas sehari ke Disneyland Hong Kong dan penginapan dalam Promosi Dine & Travel, Culinary Journey of Martin Yen.
Hadiah kedua berupa pakej percutian empat hari, tiga malam ke Taipei menggunakan RB termasuk penginapan dimenangi oleh Lu Bee Yin manakala itu, Liew Siao Ping memenangi hadiah ketiga berupa tiket penerbangan ke Shanghai menggunakan RB.
Para pemenang menerima hadiah mereka pada majlis penyampaian hadiah dan cabutan bertuah utama yang berlangsung di Restoran Dynasty, Hotel Centrepoint, Gadong, hari ini.
Hadir untuk menyempurnakan penyampaian hadiah kepada para pemenang ialah Ketua Perbankan Runcit dan Rangkaian Cawangan Bank Baiduri, Pengiran Azaleen bin Pengiran Dato Haji Mustapha.
Semasa tempoh promosi, dari 31 Mac hingga 14 April, dengan setiap dolar yang dibelanjakan dalam satu resit, para pelanggan berpeluang untuk memasuki cabutan Travel and Dine dan memenangi hadiah-hadiah menarik.
Pelanggan yang membuat pembayaran menggunakan kad Bank Baiduri menerima tiga peluang dalam cabutan bertuah berkenaan.
