Thursday, October 3, 2024
28.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    IRGC Iran lancar peluru berpandu balistik ke atas Israel

    TEHRAN, 2 OKT – Iran menerusi Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC) mula bertindak balas terhadap Israel dengan melancarkan peluru berpandu balistik  ke atas kawasan Palestin yang diduduki rejim Zionis semalam, lapor agensi berita republik Islam (IRNA).

    IRGC Iran menyatakan bahawa ia telah mula menyerang sasaran ketenteraan penting dengan puluhan peluru berpandu.

    Sebelum ini, tentera Israel mendakwa bahawa Iran telah mula melancarkan peluru berpandu ke kawasan Palestin yang diduduki rejim itu.

    Rakaman video dari beberapa bandar di Iran seperti ibu negara Tehran menunjukkan bahawa serangan peluru berpandu telah dilancarkan terhadap entiti Zionis.

    Tehran, Isfahan, Tabriz, Shiraz, Khorramabad, Arak dan lain-lain di seluruh Iran menyaksikan pelancaran misil ke udara.

    Dalam satu kenyataan, IRGC berkata serangan peluru berpandu itu adalah tindak balas terhadap pembunuhan yang dilakukan oleh Zionis dan jenayah di Palestin dan Lubnan.

    “Sebagai tindak balas ke atas pemergian Ismail Haniyeh, Hassan Nasrallah dan Komander IRGC, Abbas Nilforushan, kami menyasarkan pusat wilayah yang diduduki,” kata IRGC dalam satu kenyataan.

    IRGC Iran memberi amaran kepada rejim Israel tentang tindak balas yang lebih hebat jika ia bertindak balas terhadap serangan itu.

    “Setelah menahan diri daripada bertindak terhadap pencabulan kedaulatan Iran dalam pembunuhan Ismail Haniyeh oleh rejim Zionis dan hak yang sah untuk mempertahankan diri berasaskan Piagam Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu dan  peningkatan jenayah rejim itu dengan sokongan Amerika Syarikat dalam pembunuhan beramai-ramai di Lubnan dan Gaza dan ‘kesyahidan’ Setiausaha Agung Hizbullah,  Hassan Nasrallah; serta Komander dan Penasihat IRGC di Lubnan, Jen Abbas Nilforushan, IRGC  melancarkan puluhan peluru berpandu,” katanya. – Bernama

    Seorang lelaki berjalan bersama seekor anjing melepasi runtuhan bangunan yang musnah di Hod HaSharon selepas serangan peluru berpandu Iran ke atas Israel pada 2 Oktober. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda