Pelakon terkenal Indonesia, Irish Bella menamatkan zaman janda dengan lelaki pilihannya yang dikenali sebagai Haldy Sabri pada pagi Sabtu.
Irish, 28, berkata, dia mengambil keputusan berkahwin kali kedua selepas mendapat petunjuk daripada Allah SWT, lapor mStar.
“Keputusan berkahwin dibuat dengan hati yang tenang, penuh doa serta keyakinan dan petunjuk daripada Allah.
“Mungkin keputusan berkahwin kali kedua nampak macam tergesa-gesa di mata orang lain tetapi saya yang menentukan perjalanan hidup dan semua ujian sudah saya tempuhi,” katanya.
Irish berkongsi berita gembira itu menerusi satu hantaran di Instagram miliknya pada Sabtu.
Berkongsi mengenai karier seni selepas ini, Irish berkata kehidupannya sebagai selebriti akan berjalan seperti biasa.
Tambah aktres itu, dia berharap karya dihasilkan selepas ini mampu memberikan impak positif buat peminat dan masyarakat secara umumnya.
“InsyaAllah, saya akan terus berkarya, menyumbang dan kekal hadir sebagai tokoh masyarakat dan boleh memberi pengaruh baik kepada umum.
“Semoga karya dihasilkan dapat membawa kebaikan dan manfaat kepada ramai orang.
Terima kasih atas doa dan sokongan awda,” ujarnya. – Agensi