Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 1 NOV – Iron Chef Sdn Bhd yang mengetengahkan konsep Teppanyaki iaitu hidangan yang dimasak secara langsung di hadapan pelanggan telah dibuka di Hua Ho Mall Manggis, hari ini.
Perasmian restoran milik syarikat tempatan sepenuhnya itu disempurnakan oleh Menteri Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ali bin Apong setelah restoran berkenaan diperkenalkan kepada orang ramai sembilan bulan yang lalu.
Turut hadir pada majlis pembukaan berkenaan ialah pegawai-pegawai kanan kerajaan, rakan kongsi perniagaan dan tetamu undangan Iron Chef Sdn Bhd.
Selain menawarkan masakan memasak (Teppanyaki), restoran berkenaan turut menawarkan susyi di samping menggabungkan makanan istimewa tempatan ke dalam menu mereka seperti nasi lemak susyi dan teppan ikan pari.
Restoran berkenaan menghidangkan 100 peratus makanan segar di mana dengan perasmiannya, restoran berkenaan bercita-cita memainkan peranan untuk menarik pelancong.


Majlis perasmian diteruskan dengan penyampaian sumbangan kepada Pusat Ehsan Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam (Pusat Ehsan) dan Sekolah St Andrew yang disempurnakan oleh Yang Berhormat Menteri Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan bagi pihak Iron Chef Sdn Bhd.
Terdahulu itu, majlis menyaksikan penandatanganan perjanjian bagi Skim Perantis Chef antara Awang Muhammad Ali Chin bin Abdullah, Kementerian Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan serta Iron Chef Sdn Bhd.
Iron Chef Sdn Bhd menawarkan Skim Perantis Chef kepada kakitangan yang menunjukkan potensi dan semangat kuat di restoran berkenaan.
Skim tersebut telah diberikan kepada Awang Muhammad Ali Chin sekali gus menjadi anak Brunei yang pertama ditawarkan dalam skim berkenaan dan kini sedang belajar Teppanyaki di bawah bimbingan Cef Eksekutif, Marcus Ma.
Setelah selesai skim dalam masa tiga tahun dan memenuhi kriteria yang ditetapkan, beliau berhak menerima bayaran bonus sekali gus melanjutkan kerjayanya dengan Iron Chef Sdn Bhd.
Dengan adanya skim berkenaan, Iron Chef Sdn Bhd berharap untuk menggalakkan lebih ramai penduduk tempatan untuk memasak masakan Teppanyaki yang boleh membangun dan memberi manfaat kepada kerjaya mereka yang bukan sahaja di Brunei tapi juga di luar negara.