LOS ANGELES, 26 FEB – Kyrie Irving menamatkan perlawanan dengan 27 mata dan sembilan assist ketika Brooklyn Nets meneruskan rekod kemenangan kepada lapan perlawanan dengan keputusan 129-92 ke atas Orlando Magic, kelmarin.
Nets merekodkan kemenangan terbesar sebelah pihak musim ini dengan 61 peratus percubaan semasa perlawanan sepanjang tiga suku terakhir.
“Kami berjaya mengawal perlawanan dan menamatkan suku pertama dengan baik,” kata Irving.
James Harden menamatkan perlawanan dengan 20 mata, tujuh assist dan sembilan rebound untuk Nets, yang mencatat 20 mata melalui percubaan tiga mata di hadapan 327 penyokong yang dihadkan di arena Barclays Center.
Landry Shamet turut menambah 19 mata sementara Joe Harris dan Bruce Brown masing-masing mencatat 14 mata dalam kemenangan tersebut.

Brooklyn kini mencatat rekod kemenangan terpanjang sejak 2006 dan memenangi enam perlawanan berturut-turut tanpa Kevin Durant yang mengalami kecederaan hamstring.
Nikola Vucevic mencatat 28 mata dan 12 rebound untuk Orlando, yang mengalami kekalahan paling teruk pada musim ini, terlepas 27 daripada 36 percubaan tiga mata.
“Kami tidak boleh menghukum diri kami sendiri dan tidak boleh mudah melepaskan bola dan itulah cara untuk kami perbaikinya,” kata jurulatih Magic, Steven Clifford.
James Ennis menambah 15 mata sementara Michael Carter-Williams dan Dwayne Bacon masing-masing menjaringkan 11 mata untuk Magic.
Sementara itu, Joel Embiid menjaringkan 23 mata dan merekodkan sembilan rebound ketika Philadelphia 76ers mengambil kelebihan dengan Luka Doncic gagal menyerlah bersama Dallas Mavericks dengan kemenangan 111-97, kelmarin.
Embiid membuat lima daripada 20 percubaan dan menjaringkan 11 daripada 12 lontaran percuma. Ben Simmons menambah 15 mata dan tujuh assist sementara Seth Curry menyumbangkan 15 mata untuk Sixers, yang memperbaiki rekod di gelanggang sendiri 14-2. – AFP