Selepas lebih 10 tahun menunggu untuk menimang cahaya mata, akhirnya rumah tangga pelakon Indonesia, Irwansyah dan isteri, Zaskia Sungkar akhirnya diserikan dengan kelahiran seorang anak damit lelaki, baru-baru ini.
Berita gembira itu dikongsikan oleh aktor tersebut menerusi Instagram pada pagi Rabu.
Pelakon filem Heart itu turut berkongsikan nama putera sulungnya iaitu Ukkasya Muhammad Syahki yang dilahirkan dengan berat mencecah 3.4 kilogram di sebuah pusat perubatan di Jakarta, Indonesia.
Zaskia yang juga merupakan seorang pelakon selamat melahirkan anaknya itu menerusi kaedah pembedahan.
“Assalamualaikum, anak solehku, Ukkasya Muhammad Syahki, anak baik.
“Terima kasih atas sokongan dan cintanya untuk keluarga kecil kami selama ini.
“Semoga Allah membalas setiap doa, ucapan manis dan sokongan kalian semua dengan kebaikan dan keberkatan,” katanya.
Pasangan berkenaan telah mendirikan rumah tangga pada 15 Januari 2011. – Agensi
