KABUL, 31 Julai – Seorang pengebom nekad meletupkan dirinya di luar kedutaan Iraq di Kabul hari ini manakala para militan menceroboh masuk ke kawasan berkenaan, kata para pegawai Afghanistan, dalam serangan kompleks berjam-jam lamanya yang didakwa dilakukan oleh kumpulan Islamic State (IS).
Kesemua penyerangnya telah dibunuh dan kawasan itu selamat setelah empat jam serangan bermula, kata kementerian dalam negeri Afghanistan, menambah bahawa kesemua kakitangan kedutaan dalam keadaan selamat dan hanya seorang anggota polis mengalami cedera ‘ringan’.
Sebelumnya, kepulan asap hitam menyelubungi ruang udara di kawasan kejiranan di barat laut Kabul dengan bunyi senjata tembakan, letupan dan siren ambulans boleh didengar. Penduduk yang panik, termasuk wanita dan kanak-kanak, telah dilihat melarikan diri dari kawasan berkenaan.
Kementerian dalam negeri berkata kira-kira empat militan telah menyerang kedutaan, bermula dengan seorang pengebom berani mati yang meletupkan jaketnya di pintu masuk kawasan tersebut.
“Pasukan polis yang bertindak pantas tiba pada masanya dan memindahkan diplomat-diplomat Iraq ke tempat selamat. Tiada kakitangan kedutaan telah dicederakan, hanya seorang anggota polis cedera ringan,” kata kenyataan kementerian.

Kementerian luar negeri Iraq di Baghdad berkata charge d’affairs antara mereka yang dipindahkan dan ia sedang memantau situasi berkenaan bersama pihak berkuasa Afghan, tanpa memberi butiran selanjutnya.
Agensi propaganda IS, Amaq menyiarkan kenyataan mendakwa bertanggungjawab atas serangan itu, mengatakan dua anggotanya ‘menyerang bangunan kedutaan Iraq di bandar Kabul, Afghanistan’.
Kedutaan itu terletak di barat laut Kabul, di kawasan kejiranan yang menempatkan beberapa buah hotel dan bank serta pasar raya besar dan pos-pos polis.
“Saya dengar dentuman besar yang disusuli dengan beberapa letupan dan tembakan kecil,” kata Ahmad Ali, seorang pembeli-belah berhampiran.
“Orang ramai sangat bimbang dan menutup kedai mereka serta menyelamatkan diri. Jalan-jalan raya masih lagi disekat oleh pasukan keselamatan.”
Serangan itu adalah insiden terbaru yang menggegarkan Kabul, yang sering dilanda letupan bom dan serangan militan, kerap membunuh ramai orang awam. – AFP