LONDON, 7 OGOS – Masa depan Alexander Isak di Newcastle kini menjadi tanda tanya selepas penyerang Sweden itu dilaporkan diarah untuk berlatih secara bersendirian, berasingan daripada skuad utama kelmarin.
Pemain berusia 25 tahun itu dikaitkan dengan perpindahan ke Liverpool yang berpotensi memecahkan rekod perpindahan Britain, selepas tidak menyertai sebarang perlawanan pramusim bersama Newcastle.
Isak tidak mengikuti lawatan kelab itu ke Singapura dan Korea Selatan atas alasan mengalami kecederaan ringan pada paha, sebaliknya memilih untuk menjalani latihan di Sepanyol bersama bekas kelabnya, Real Sociedad.
Sekembalinya ke Tyneside, Sky Sports melaporkan bahawa Isak diarahkan berlatih selepas sesi skuad utama tamat kelmarin.
“Kamu perlu berusaha mendapatkan hak untuk berlatih bersama kami. Kami adalah Newcastle United,” kata pengurus Eddie Howe kepada wartawan pada sesi pramusim terdahulu.

“Kami akan pastikan setiap pemain perlu ‘mendapat’ tempat untuk berlatih bersama kumpulan. Tiada siapa boleh bertindak sesuka hati dan tetap berlatih seperti biasa.”
Liverpool dilaporkan telah mengemukakan tawaran bernilai £110 juta bagi mendapatkan Isak, namun ia ditolak oleh Newcastle yang dilaporkan mahukan angka lebih hampir kepada £150 juta.
Satu lagi halangan besar dalam rundingan itu ialah Newcastle masih belum menemui pengganti Isak. Mereka berdepan saingan daripada Manchester United bagi mendapatkan penyerang RB Leipzig, Benjamin Sesko, selepas gagal mendapatkan Joao Pedro, Hugo Ekitike dan Liam Delap sebelum ini.
Liverpool pula telah membelanjakan lebih £250 juta dalam jendela perpindahan kali ini untuk membawa masuk Ekitike, Florian Wirtz, Milos Kerkez dan Jeremie Frimpong. Bagaimanapun, mereka turut memperoleh dana besar hasil penjualan pemain seperti Luis Diaz, Jarell Quansah, Caoimhin Kelleher, Trent Alexander-Arnold dan Tyler Morton.
Selain itu, Darwin Nunez kini hampir melengkapkan perpindahan bernilai £46 juta ke kelab Arab Saudi, Al Hilal – langkah yang akan memberi ruang dari segi kewangan dan kuota skuad untuk satu lagi cubaan mendapatkan Isak.
Sejak menyertai Newcastle dengan nilai £63 juta pada 2022, Isak telah menjaringkan 62 gol dalam 109 penampilan, termasuk gol kemenangan dalam perlawanan akhir Piala Liga menentang Liverpool pada bulan Mac – sekali gus menghadiahkan trofi domestik pertama Newcastle dalam tempoh 70 tahun. – AFP

