NEWCASTLE, 3 NOV – Newcastle memberikan tamparan besar kepada hasrat Arsenal untuk mencabar gelaran, dengan kemenangan 1-0 kelmarin.
Alexander Isak menjaringkan gol yang terbukti sebagai gol kemenangan pada minit ke-12, menanduk masuk hantaran lintang Anthony Gordon dari kanan.
Arsenal yang berada di tempat ketiga sukar untuk memulakan rentak permainan dan walaupun mengawal penguasaan bola, mereka hanya menghasilkan satu percubaan tepat sepanjang perlawanan.
Anak buah Mikel Arteta kini hanya mengumpul satu mata dalam tiga perlawanan terakhir mereka, dengan usaha mereka untuk meraih gelaran semakin tipis.
Arsenal telah memberikan tentangan sengit kepada City di bawah Pep Guardiola sepanjang dua musim lalu dan kelihatan bersedia untuk mencabar gelaran sekali lagi, tetapi jurang yang ada kini kelihatan membimbangkan.
“Kami tidak menemui jawapan yang cukup untuk banyak soalan dan situasi yang perlu selesaikan dengan lebih baik,” kata Arteta kepada TNT Sports. “Jadi, saya sangat kecewa.”
Ketua pasukan Arsenal itu disoal bagaimana beliau akan menaikkan semangat pasukannya menjelang perlawanan minggu depan menentang Inter Milan dan Chelsea.
“Sudah tiba masanya untuk melakukannya di atas padang,” katanya. “Awda tahu, kami boleh berkata apa sahaja yang kami mahu. Mungkin kami tidak akan menemui perkataan yang sesuai hari ini selepas tewas dalam perlawanan, awda cedera. Tetapi kami perlu menunjukkannya di atas padang pada malam Rabu.”
Pasukan pelawat yang dibelenggu kecederaan dan masih kehilangan kapten Martin Odegaard, memulakan perlawanan dengan cemerlang di St James’ Park, menerusi percubaan Leandro Trossard.
Tetapi pasukan tuan rumah yang tidak menang dalam lima perlawanan liga, dengan cepat menyesuaikan diri dan penyerang Sweden, Isak berjaya melepasi Gabriel dan William Saliba untuk menanduk masuk gol hasil hantaran cantik Gordon pada minit ke-12. – AFP