Oleh Ak Zaki Kasharan
BANDAR SERI BEGAWAN, 15 JUN – Sekolah Antarabangsa Brunei (ISB) hari ini secara rasmi membuka tayangan pertama Shrek: The Musical yang melibatkan 200 orang pelajar dari Tahun 4 hingga 12 yang telah berlatih sejak beberapa bulan lalu untuk membantu menghidupkan persembahan.
Berkenan menyertai pementasan petang tadi ialah anak-anda Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri (JPM), iaitu Yang Teramat Mulia Pengiran Anak Muneerah
Madhul Bolkiah.
Ketua Fakulti Seni ISB, Amy Gilroy berkata, demam Shrek sudah tentu melanda ISB, di mana kegembiraan dan keseronokan di sekitar sekolah sangat mengagumkan. Kerjasama berkenaan adalah bukti sebenar kepada komuniti ISB yang sangat mendokong.
“Kami sangat bertuah kerana mempunyai kakitangan dan pelajar yang hebat untuk bekerjasama dalam membantu mencipta kenangan istimewa yang kekal seumur hidup,” jelasnya.
Kerja keras dan komitmen begitu terserlah apabila pelakon berbakat menambah tenaga, jenaka dan kemesraan pada watak mereka yang dilengkapi dengan pentas yang hijau dan berpakaian kemas yang turut menawan hati penonton.




Shrek didasarkan daripada filem DreamWorks Animation, Shrek pada 2001 yang memenangi Oscar, mengisahkan seekor raksasa yang tinggal sendirian di sebuah kawasan paya. Kesendiriannya yang berharga dihancurkan oleh sekumpulan besar watak dongeng menjengkelkan yang merayu bantuannya untuk menyelamatkan rumah mereka daripada Lord Farquaad yang ego.
Shrek akhirnya bersetuju, selagi mereka meninggalkannya sendirian. Rancangan itu membawanya dalam pengembaraan disebabkan tuntutan Lord Farquaad, termasuk menyelamatkan Puteri Fiona dari menara, menemui rahsia matahari terbenam dan bersabar dengan keldai yang terlalu teruja yang tidak dapat disingkirkannya.
Ia adalah kisah persahabatan, cinta dan pembelajaran yang paling penting daripada semua, menerima diri awda apa adanya. Shrek: The Muzikal akan ditayangkan di teater ISB sehingga 17 Jun.
ISB turut merakamkan penghargaan kepada D’Sunlit Sdn Bhd, Bank Standard Chartered Brunei, Progresif Sdn Bhd, Hotel Mulia, Relentless dan Royal Brunei Culinary atas sokongan mereka dalam produksi berkenaan.

