Oleh Sim Y. H.
Gambar serahan ISB
BANDAR SERI BEGAWAN, 1 MAC – Bersempena dengan Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam ke-37, Sekolah Antarabangsa Brunei (ISB) telah menghoskan siri perhimpunan Hari Kebangsaan istimewa pada 24 Februari lalu.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh ISB, di sini, pada perhimpunan itu, para pelajar menyaksikan persembahan yang mengetengahkan sejarah dan warisan budaya Brunei yang disampaikan oleh pelajar-pelajar yang menggunakan Bahasa Melayu sebagai bahasa ibunda dan bahasa kedua dari kedua-dua sekolah menengah dan rendah.
Kenyataan menyatakan lagi bahawa setiap perhimpunan bermula dengan nyanyian lagu kebangsaan Negara Brunei Darussalam, ‘Allah Peliharakan Sultan’, yang diikuti oleh persembahan kreatif cerita rakyat, lagu dan tarian tradisional Brunei. Para pelajar turut diingatkan mengenai kepentingan majlis berkenaan dan pentingnya untuk mengekalkan semangat patriotisme.
Kenyataan menyatakan bahawa empat perhimpunan berbeza telah diadakan yang memberikan tumpuan kepada kumpulan sasaran yang berbeza di mana perhimpunan Hari Kebangsaan itu bermatlamat untuk menanam semangat patriotisme dan nasionalisme dalam diri pelajar.

