Sunday, May 11, 2025
25.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    ISB rai 23 peserta khatam

    Oleh Syahmi Hassan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 27 JUN – Seramai 23 orang murid Darjah 6 Sekolah Ugama Antarabangsa Brunei (ISB) yang berjaya menamatkan pembacaan Al-Quran 30 Juzuk telah diraikan pada Majlis Khatam Al-Quran yang berlangsung di Dewan Persidangan Pusat Dakwah Islamiah, hari ini.

    Turut diraikan ialah cucunda Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, Yang Amat Mulia Pengiran Anak ‘Abdul Haseeb dan cucunda Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Masna, Pengiran Seti Amanina Wafiqah.

    Berkenan berangkat selaku tetamu kehormat majlis ialah Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Rashidah Sa’adatul Bolkiah.

    Berangkat sama, Yang Amat Mulia Pengiran Maharaja Setia Laila Diraja Sahibul Irshad Pengiran Anak Haji Abdul Rahim; Yang Amat Mulia Pengiran Anak Hariisah Widadul Bolqiah; Yang Amat Mulia Pengiran Anak Haji Abdul Wadood Bolkiah dan isteri, Pengiran Seti Aminah binti Pengiran Othman.

    Majlis yang melibatkan 16 orang murid lelaki dan tujuh orang murid perempuan itu merupakan aktiviti tahunan sekolah bagi menepati hasrat kerajaan dalam melahirkan generasi celik Al-Quran.

    Antara tujuan majlis tersebut adalah untuk menggalakkan murid-murid supaya sentiasa membaca Al-Quran dengan betul dan lancar, memastikan murid-murid dapat mengkhatamkan Al-Quran sebelum mereka menamatkan Darjah 6 persekolahan agama dan mengeratkan kerjasama dan perpaduan antara ibu bapa dan penjaga, guru-guru dan murid dalam sama-sama mengendalikan majlis-majlis keagamaan di sekolah.

    Majlis telah dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang dipimpin oleh salah seorang guru, Awang Mahmud bin Haji Adam diikuti dengan bacaan ayat-ayat lazim oleh peserta khatam Al-Quran.

    Kemudian, majlis diteruskan dengan bacaan Takhtim oleh murid-murid Darjah 6 dan 5 serta bacaan Doa Khatam oleh murid Darjah 6, Awang Muhammad ‘Ismat bin Zaini.

    YTM Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Rashidah Sa’adatul Bolkiah kemudiannya berkenan menganugerahkan sijil-sijil kepada peserta khatam dan acara diakhiri dengan bacaan Doa Selamat oleh Awang Mahmud.

    YTM Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Rashidah Sa’adatul Bolkiah berkenan menganugerahkan sijil-sijil kepada para peserta.
    YAM Pengiran Anak ‘Abdul Haseeb (tengah) dan Pengiran Seti Amanina Wafiqah (belakang, kanan) merupakan antara peserta khatam di majlis tersebut.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda