Oleh Yusrin Junaidi –
BANDAR SERI BEGAWAN, 25 JUN – Sebagai tanda penghargaan terhadap usaha gigih para pelajar yang berjaya menamatkan bacaan 30 juzuk Al-Quran, seramai 41 orang pelajar Darjah 6 dari Sekolah Ugama Antarabangsa Brunei (ISB) petang tadi diraikan dalam
Majlis Khatam Al-Quran bertempat di Hotel Antarabangsa Rizqun, Gadong.
Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah oleh Pemangku Pengarah Pengajian Islam, Hajah Mariana binti Haji Jamil, selaku tetamu kehormat majlis, diikuti dengan bacaan surah-surah pilihan oleh para peserta khatam Al-Quran.
Doa Khatam Al-Quran kemudiannya dibacakan oleh Awang Afif Zakwan bin Haji Nafisal@Haji Dedy, sebelum diteruskan dengan penyampaian sijil kepada semua peserta, yang disempurnakan oleh tetamu kehormat.
Majlis itu bukan sahaja bertujuan menghargai pencapaian mereka, malah menjadi dorongan untuk para pelajar menjadikan Al-Quran sebagai panduan dan amalan dalam kehidupan seharian.
Ia turut mencerminkan usaha berterusan Jabatan Pengajian Islam, Kementerian Hal Ehwal Ugama dalam melahirkan generasi celik Al-Quran dan memperkukuhkan syiar Islam di negara ini.
Majlis turut diserikan dengan persembahan dikir oleh para pelajar dan diakhiri dengan bacaan Doa Selamat oleh Awang Muhammad Nuzul Haqimie bin Junaidi.
Majlis ini diharapkan dapat terus menyuntik semangat para pelajar untuk terus mendalami serta mengamalkan isi kandungan Al-Quran sepanjang hayat.




