Oleh Salawati Haji Yahya
Gambar Salawati Haji Yahya & Rahwani Zahari
BANDAR SERI BEGAWAN, 11 OKT – Bagi mendedahkan nilai-nilai kebangsaan yang terdapat di pelbagai negara di seluruh dunia serta meraikan kepelbagaian, Sekolah Antarabangsa Brunei (ISB) telah mengadakan Hari Antarabangsa, hari ini.
Berkenan berangkat ke sambutan berkenaan ialah Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah.
Turut berangkat menyaksikan persembahan ialah cucunda-cucunda Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, Yang Teramat Mulia Pengiran Muda ‘Abdul Muntaqim, Yang Teramat Mulia Pengiran Anak Muneerah Madhul Bolkiah dan Yang Teramat Mulia Pengiran Muda Muhammad Aiman.
Berangkat sama, Yang Amat Mulia Pengiran Anak ‘Abdul Raqiib, Yang Amat Mulia Pengiran Anak ‘Abdul Haseeb dan Yang Amat Mulia Pengiran Anak Raqeeqah Raayatul Bolqiah.
Antara persembahan yang diadakan termasuk perarakan pelbagai negara, persembahan tarian Columbia, Filipina, Indonesia, New Zealand, Scotland, Afrika Selatan, Zumba serta persembahan karate.
Selain itu, pondok-pondok jualan yang didirikan juga mengetengahkan pelbagai produk makanan dan minuman dari negara-negara seperti Korea, United Kingdom, Pakistan, Indonesia, Jepun dan banyak lagi.
Sambutan berkenaan merupakan Sambutan Hari Antarabangsa ke-27 dalam sejarah 57 tahun sekolah berkenaan di mana sambutan tersebut merayakan kepelbagaian budaya, kebangsaan dan bahasa dalam lembaga sekolah yang menampilkan 45 buah negara diwakili oleh para pelajar dan kakitangan ISB.




