Monday, May 12, 2025
25.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    ISB raikan pencapaian cemerlang pelajar Tahun 11

    Oleh Nurdiyanah R. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 17 NOV – Sekolah Antarabangsa Brunei (ISB) telah meraikan pencapaian graduan Tahun 11 kohort 2023 yang mencapai keputusan cemerlang dalam Sijil Am Antarabangsa Pendidikan Menengah (IGCSE) pada majlis istimewa yang berlangsung di Teater ISB, baru-baru ini.

    Antara pelajar yang diraikan ialah anakanda Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri iaitu Yang Teramat Mulia Pengiran Muda ‘Abdul Muntaqim.

    Menurut ISB, pelajar Tahun 11 kohort 2023 telah membanggakan sekolah dengan keputusan IGCSE yang luar biasa, setelah meraih pencapaian melebihi purata United Kingdom dari segi gred A*-C dan A*-A.

    Para pelajar telah berjaya mara ke peringkat seterusnya dalam perjalanan pendidikan mereka, dengan majoriti kini menjalani Program Diploma Antarabangsa Baccalaureate (IB).

    Mereka telah menunjukkan kehebatan intelek, komitmen terhadap pembelajaran dan pertumbuhan peribadi serta kejayaan mereka juga menyerlahkan sokongan padu guru dan kakitangan ISB.

    YTM Pengiran Muda ‘Abdul Muntaqim berkenan menerima sijil IGCSE daripada Dominic Morley. – GAMBAR SERAHAN ISB
    YTM Pengiran Muda ‘Abdul Muntaqim berkenan bergambar bersama Dominic Morley dan para graduan terdiri daripada pelajar-pelajar daripada kumpulan tutor yang sama. – GAMBAR SERAHAN ISB

    Majlis menyaksikan Pengetua Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif ISB, Dominic Morley bersama-sama tutor Tahun 11 menyampaikan sijil IGCSE kepada para graduan.

    Dalam ucapan alu-aluan, Dominic Morley berkata, kelayakan IGCSE adalah mencabar dan menyediakan asas yang kukuh untuk mara ke IB dan beliau berbesar hati untuk mengatakan bahawa lebih ramai pelajar Tahun 11 ke peringkat IB pada Tahun 12 berbanding sebelum ini.

    Pada majlis tersebut, Ketua Menengah ISB, Dr Peter Jones turut menyampaikan Anugerah Kemajuan dan Pencapaian Tertinggi bagi mengiktiraf pelajar yang memperolehi keputusan menunjukkan kemajuan yang ketara, manakala Anugerah Pencapaian diberikan kepada pelajar yang mencapai keputusan akademik tertinggi.

    Antara acara kemuncak majlis adalah persembahan muzik oleh pelajar-pelajar yang menamatkan pengajian.

    Majlis tersebut telah dihadiri oleh graduan Tahun 11 yang kini berada di Tahun 12 mengikuti Program Diploma IB, ibu bapa, guru dan kakitangan.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda