ISB Seria anjur Hari Sains

Oleh Daniel Lim
Gambar serahan ISB Seria

BELAIT, 13 MEI – Sebagai sebahagian daripada Hari Sains, Sekolah Antarabangsa Brunei (ISB) Seria menganjur pelbagai aktiviti pendidikan yang menyeronokkan untuk pelajar Tahun 5 dan 6.

Aktiviti yang diadakan bertujuan membantu pelajar mengembangkan kemahiran dan pengetahuan serta mendedahkan mereka kepada elemen-elemen berkaitan dengan skop pembelajaran sains.

Kebanyakan aktiviti yang dijalankan bersifat kajian penyelidikan untuk menggalak pelajar mempraktikkan kemahiran pemikiran kritikal, termasuk mata pelajaran astronomi menerusi pembuatan jam matahari manusia, mengkaji jantung lembu untuk mata pelajaran biologi dan menguji asid dan alkali untuk mata pelajaran kimia serta menghasilkan pelangi untuk fizik.

Selain itu, pelajar juga mendengar kisah-kisah angkasa lepas yang dibacakan oleh angkasawan sebenar serta mempelajari lebih mengenai pencapaian saintifik penting dari seluruh dunia. Aktiviti lain termasuk memerhati uji kaji klasik yang membabitkan gula-gula Mentos dan Coca-Cola yang popular di kalangan pelajar disebabkan reaksi hebatnya.

Aktiviti berkenaan diharapkan dapat membantu pelajar menggunakan kaedah saintifik untuk menjawab soalan dan hipotesis mereka sendiri.

Antara pelajar ISB Seria yang mengambil bahagian dalam aktiviti sempena Hari Sains yang dianjurkan oleh sekolah berkenaan.