Oleh Daniel Lim
Gambar serahan ISB Seria
BELAIT, 30 APRIL – Sebagai sebahagian daripada program selama seminggu untuk membantu memberigakan kepentingan menjaga alam sekitar terutamanya dalam kalangan pelajar muda, Sekolah Antarabangsa Brunei (ISB) Seria telah mengendalikan Eco Week di premis dan kawasan sekitar sekolah berkenaan.
Salah seorang guru yang membimbing program berkenaan, Marie McCready memberitahu bahawa pelajar dan kakitangan ISB Seria telah mengendalikan pelbagai aktiviti sepanjang minggu.
Antara aktiviti berkenaan termasuk kempen kebersihan di mana setiap kelas rendah sekolah itu berjaya mengumpulkan lebih 30 beg sampah di pesisir pantai berdekatan.
Beliau berkata, melihat banyak botol plastik sekali pakai diselamatkan daripada memasuki lautan, murid-murid ISB berikrar untuk sebolehnya menggunakan botol-botol air kitar semula dan memujuk keluarga dan rakan-rakan mereka untuk melakukan yang sama.
“Kami juga memilih untuk menukar beberapa botol yang dikumpulkan menjadi pasu,” tambah beliau.
Menurut beliau lagi, kempen itu juga membantu merangsang dan menggalakkan lagi pelajar mereka untuk menjalankan inisiatif litter free lunches di mana selepas membersihkan kawasan taman permainan, pihak sekolah menyedari bahawa para pelajar dan guru dapat membuat perubahan cepat dan mudah kepada bekal makanan tengah hari, yang boleh mempunyai kesan besar terhadap jumlah sampah yang dihasilkan.
Satu lagi aktiviti yang diadakan adalah perarakan eko di mana kanak-kanak boleh memilih, mereka dan menghasilkan pakaian mereka sendiri dan model-model 3D daripada bahan-bahan terpakai dan kitar semula dalam cara yang menyeronokkan dan menarik.
Menurut beliau lagi, dalam perhimpunan minggu ini bagi Matlamat Pembangunan Mapan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu 13, Perubahan Iklim, sekolah berkenaan belajar mengenai kuasa individu, tanpa mengira usia, apabila mereka mendengar ucapan yang disampaikan oleh Greta Thunberg kepada pemimpin-pemimpin dunia.
Kanak-kanak lebih tua kemudian menghias taman permainan sekolah dengan slogan untuk menggalakkan semua orang terlibat dalam perubahan itu.

